Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pembentukan negara disifatkan sebagai peringatan amat penting dan bermakna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menyambut baik titah tersebut, sambil menekankan kepentingan rakyat untuk kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia serta mengelak daripada menghasut sehingga menimbulkan ketegangan antara wilayah.
“Titah Seri Paduka Baginda yang menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan peringatan yang amat bermakna bahawa negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
“Saya menyambut baik seruan agar kita kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia serta peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.
“Sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” katanya.
Mustapha berkata, sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI, pelaksanaan MA63 akan terus dilakukan secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, usaha itu akan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Usaha itu merangkumi penambahbaikan kepada kerangka perundangan dan perlembagaan, penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan,” katanya.
Dalam konteks pembinaan negara bangsa, Mustapha berharap Pelan Pendidikan Negara yang bakal diluncurkan akan memberi penekanan lebih jelas terhadap sejarah pembentukan Malaysia termasuk semangat dan makna MA63, agar difahami secara menyeluruh oleh generasi muda.
Beliau turut menekankan kepentingan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan nasional.
“Dalam kerangka Malaysia MADANI, (Bahasa Melayu) seharusnya diangkat dan diperkasakan, seiring dengan usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa utama.
“Serta melindungi bahasa-bahasa etnik bagi melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdaya saing dan mampu berinteraksi di peringkat global,” katanya.
Mustapha berkata, pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian tetapi merupakan agenda nasional masa depan untuk memastikan pembangunan lebih seimbang, pengurusan sumber berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang responsif dan berintegriti.
“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh.
“Daulat Tuanku,” katanya.








