Titah Sultan Nazrin hadapi cabaran semasa wajar dihayati – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan titah dan nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam sebagai amat signifikan dan wajar dihayati bersama.

Beliau berkata, panduan yang disampaikan Sultan Nazrin itu penting dalam membantu negara mendepani cabaran semasa, selain membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam.

“Titah Tuanku memberi penekanan terhadap tanggungjawab kepimpinan serta keperluan memperkukuh sistem pendidikan dan pengurusan hal ehwal Islam agar kekal relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan Sultan Nazrin, pada Selasa.

Menurut Anwar, mesyuarat berkenaan turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam merangka keputusan strategik demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Tambahnya, kerjasama erat antara semua pihak penting bagi memastikan setiap dasar yang digubal selari dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan melalui semangat musyawarah antara negeri, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta nilai Malaysia MADANI,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat