TLDM nafi dakwaan ketegangan dengan Tentera Laut Filipina

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan yang tular di YouTube kononnya berlaku ketegangan antara TLDM dan Tentera Laut Filipina di perairan Sabah.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan pada Khamis berkata, rakaman video berdurasi 12 minit 51 saat itu adalah maklumat palsu dan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Tiada insiden seperti yang digambarkan dalam video tersebut. Kandungan itu jelas bertujuan mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang terjalin antara Filipina dan Malaysia.

“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini berpotensi menimbulkan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan TLDM dan menggugat keamanan di rantau ini,” katanya.

TLDM menegaskan pihaknya kekal komited mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, selain menggesa orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat