PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tampil lantang mempertikaikan tindakan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain bola sepak yang didakwa terlibat dalam isu perpindahan kontroversi dengan menyifatkannya sebagai tidak berasaskan undang-undang dan bermotif politik.
Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik di media sosial rasmi, TMJ yang juga Pemangku Sultan Johor menegaskan bahawa Artikel 22 dalam kod FIFA hanya memperuntukkan tindakan terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu dan perkara itu tidak terpakai kepada para pemain yang dihukum.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang.
“Hukuman ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bermotif politik,” titah baginda.
TMJ turut menyuarakan komitmen untuk meneruskan perjuangan membela para pemain yang terkesan dengan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), sebuah badan bebas yang mengendalikan pertikaian dalam sukan antarabangsa.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan demi para pemain,” ujar baginda lagi.
Kenyataan TMJ hadir susulan keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman asal Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu, selepas menolak rayuan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dengan keputusan itu, FAM masih perlu membayar denda sebanyak RM1.8 juta, manakala tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kekal digantung selama 12 bulan serta masing-masing didenda RM10,411.
FAM kini mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis daripada FIFA sebelum diberi 21 hari bagi mengemukakan rayuan rasmi kepada CAS.








