PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berpendapat FIFA tidak akan mengubah keputusan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan (Malaysia Abroad) menjelang sesi Tribunal Bola Sepak badan induk dunia itu, Jumaat depan.
Baginda menjelaskan, paling tinggi FIFA mungkin meringankan tempoh hukuman, namun tidak akan membatalkannya sepenuhnya.
“Saya tidak rasa FIFA akan tukar keputusan, cuma kalau ada pun mungkin ringankan hukuman. Berapa lama, itu kita tidak tahu,” titahnya dalam sidang media di Dorsett Grand Subang.
Tunku Ismail menegaskan bahawa isu ini perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang, dan beliau akan mempertahankan hak pemain-pemain tersebut yang disifatkan tidak bersalah.
“Saya akan berjuang untuk mereka. Mereka rakyat Malaysia dan berhak mewakili negara,” tegasnya.
Baginda turut menjelaskan bahawa penglibatannya dalam isu pemain warisan hanya sebagai pemain industri bola sepak, bukan pihak rasmi dalam proses pendaftaran atau kelulusan dokumen.
Menurutnya, semua urusan pemain dirujuk kepada FAM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan hanya tujuh pemain yang diluluskan melalui sistem rasmi JPN.
Dalam perkembangan sama, baginda tidak bersetuju dengan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, yang dikenakan pada 17 Oktober lalu.
“Saya rasa penggantungan itu tidak patut. Ramai terlibat dalam FAM, semua perlu bertanggungjawab, bukan satu individu saja,” katanya.
Tunku Ismail turut menyeru agar semua pihak menghentikan budaya menuding jari, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian supaya nama baik bola sepak Malaysia dapat dipulihkan di mata dunia.
Baca juga:








