TMJ Sindir Kritikan Dominasi JDT, Ajak ‘Bubar Liga’ dan ‘Boikot’ Secara Beramai-ramai

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi mencuri perhatian apabila menyindir kritikan terhadap dominasi kelab bola sepaknya dalam Liga Malaysia.

Dalam ciapan di platform X, TMJ memuat naik gambar pasukan JDT dengan kapsyen bernada sinis.

“Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot beramai-ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bolasepak Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai sebagai reaksi terhadap dakwaan bahawa kejayaan berterusan JDT yang telah menjuarai Liga Super 10 musim berturut-turut sejak 2014 menjejaskan daya saing liga.

Kritikan semakin lantang apabila penyokong dan pemerhati bola sepak menyuarakan kebimbangan bahawa kemenangan mutlak satu pasukan boleh mengurangkan daya saing liga secara keseluruhan.

Ada yang mencadangkan agar struktur liga disusun semula bagi memastikan persaingan yang lebih seimbang.

Namun, penyokong JDT mempertahankan kelab itu, menegaskan bahawa kejayaan mereka bukan sekadar kebetulan tetapi hasil perancangan jangka panjang dan pelaburan besar sesuatu yang tidak dimiliki kebanyakan kelab lain.

TMJ sebelum ini juga lantang menggesa kelab lain supaya lebih profesional dalam pengurusan pasukan dan tidak hanya menyalahkan kejayaan JDT sebagai punca kemerosotan mutu liga.

Hantaran TMJ itu segera mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Ada yang menyokong kenyataan beliau, manakala yang lain melihat dominasi JDT sebagai sesuatu yang membantutkan perkembangan liga.

“Jangan salahkan yang berjaya jika yang lain gagal mengikut standard. Bola sepak bukan soal emosi, ia soal pengurusan,” kata seorang penyokong JDT di ruang komen.

Manakala seorang pengguna lain yang kurang bersetuju dengan situasi itu.

“Kalau asyik JDT menang, liga makin hambar. Ini liga bola sepak, bukan satu kelab punya ‘showcase’,” katanya.

Sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu ini.

Anda Mungkin Berminat