TMM 2026: MaTiC Jadi Pusat Sehenti Tarikan Pelancong Antarabangsa

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) bakal berperanan sebagai ‘One-Stop Centre’ sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), menjadikan lokasi ini pusat utama pameran seni, budaya dan warisan negara.

Dalam kenyataan media pada Isnin, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan inisiatif itu menghimpunkan pelbagai agensi seni, budaya dan warisan di bawah satu bumbung.

Langkah tersebut bertujuan memperkenalkan kekayaan warisan, seni visual, kraftangan, gastronomi tradisional serta persembahan kebudayaan Malaysia kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Usaha ini sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia,” kata MOTAC.

Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk pengenalan makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara, pameran hasil kraftangan tempatan oleh Kraftangan Malaysia, pameran karya seni artis tempatan oleh Balai Seni Negara, persembahan kebudayaan tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Istana Budaya, selain persembahan muzik tradisional oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Turut memeriahkan program ialah demonstrasi urutan tradisional oleh Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) serta pameran dan sewaan busana tradisional.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man ketika melawat pusat tersebut pada 28 Januari lalu berkata, penubuhan ‘One-Stop Centre’ itu diharap menjadi platform komprehensif yang membolehkan pelawat menikmati pengalaman menyeluruh merangkumi seni, budaya, warisan serta elemen kesejahteraan Malaysia dalam satu kunjungan, selari dengan aspirasi VM2026.

Difahamkan, pameran dan aktiviti jualan dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang, manakala persembahan kebudayaan dijadualkan berlangsung pada waktu yang telah ditetapkan.

Orang ramai serta pelawat antarabangsa dijemput hadir ke MaTiC untuk merasai sendiri keunikan warisan dan kekayaan budaya Malaysia yang berwarna-warni.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi MaTiC di www.matic.gov.my.

Anda Mungkin Berminat