SANDAKAN: Sempena persediaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi arahan kepada semua penyedia rangkaian mudah alih untuk memperbaiki perkhidmatan internet di kawasan pelancongan utama di kawasan pelancongan Sepilok.
Menerusi kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC, dilaporkan, Fahmi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan ujian kualiti komunikasi di kawasan itu.
Menurutnya, pengujian merangkumi di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok yang berada di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah serta Rainforest Discovery Centre oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
MCMC berkata, program itu melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih seperti CelcomDigi, Maxis, UMobile, YTL, dan TM Tech.
“Hasil ujian mendapati liputan di kawasan tumpuan pengunjung seperti di apusat Pemuliharaan Orang Utan dan Rainforest Discovery Centre didapati memuaskan.
“Namun, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai liputan lemah seperti lokasi kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre.
“Sehubungan dengan itu, telco yang terlibat telah diminta untuk mengambil tindakan segera,” kata kenyataan itu.
Sebagai usaha untuk memacu pelancongan Sabah, Kementerian Komunikasi turut mengadakan sesi libat urus bagi memastikan capaian internet yang lebih mantap demi menarik lebih ramai pelancong dan menjadikan industri ini lebih kompetitif.
Turut hadir dalam lawatan itu termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Datuk Zulkifeli Mohd Zin; dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.