TMM2026 Dilanjut Hingga 2027, Malaysia Ambil Langkah Proaktif Hadapi Ketidaktentuan Global

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) sehingga penghujung 2027 bagi memperkukuh daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah proaktif untuk memperhebat strategi promosi serta menonjolkan Malaysia sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing.

Menurut beliau, lanjutan tempoh kempen itu juga memberi ruang kepada negara merebut peluang susulan perubahan corak perjalanan pelancong global.

“Keputusan ini turut mengambil kira perkembangan semasa termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan ketara kepada kestabilan serantau dan industri pelancongan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 kali kedua di sini pada Isnin.

Tambahnya, unjuran menunjukkan ketibaan pelancong ke Asia Barat boleh merosot antara 11 hingga 27 peratus, melibatkan kehilangan sehingga 38 juta pelawat serta kerugian mencecah AS$56 bilion.

“Situasi ini turut memberi kesan limpahan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN,” jelasnya.

Dalam masa sama, konflik berkenaan turut menjejaskan laluan penerbangan antarabangsa selain meningkatkan kos perjalanan akibat kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.

“Keadaan ini menjejaskan keyakinan pelancong dan dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan global dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Kempen VM2026 yang dilancarkan pada 1 Januari lalu menyasarkan kehadiran 43 juta pelawat antarabangsa dengan tema “Surreal Experiences” bagi merancakkan sektor pelancongan negara.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan melanjutkan kempen itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat