TMM2026: Pelancongan kekal fokus utama perkukuh ekonomi negara

PARLIMEN | Sektor pelancongan kekal keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh ekonomi negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tumpuan kerajaan bukan hanya memastikan sasaran pendapatan RM329 bilion tercapai, tetapi juga memastikan rakyat menikmati limpahan ekonomi hasil penganjuran TMM2026.

“Kita mahu manfaat pelancongan ini dirasai semua daerah, termasuk di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung. Namun, apabila ringgit mengukuh, ada kesan sampingan seperti peningkatan rakyat melancong ke luar negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengenai persiapan kerajaan dalam menjayakan TMM2026.

Menurutnya, kerajaan optimis mencapai sasaran pendapatan itu melalui kempen promosi berskala besar yang digerakkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Bagi tahun 2024, kita menerima 38 juta pelancong dan hasilnya memberangsangkan. Dengan promosi lebih besar dan berkesan, pendapatan negara dijangka meningkat jauh lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, MOTAC turut memperkukuh kerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan, hotel dan restoran bagi memperluas promosi. Fokus promosi TMM2026 ialah 70 peratus secara digital dan 30 peratus secara konvensional.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan memberi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 dalam Belanjawan 2026 sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk bercuti dalam negara dan menyokong pelancongan domestik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat