PETALING JAYA: 85 peratus pengguna domestik di negara ini tidak akan terlibat dengan kenaikan tarif elektrik.
Demikian jaminan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman.
Beliau berkata, keputusan itu sejajar dengan apa yang telah diputuskan kerajaan pada 20 Disember lepas, untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
“Dalam tempoh itu, pengguna domestik tidak akan terjejas kerana sebarang kenaikan harga atau impak akan ditampung kerajaan menerusi kaedah yang akan ditentukan antaranya termasuklah melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE),” katanya seperti dilapor Bernama.
Sebelum tempoh itu berakhir, Nazmi berkata, kerajaan akan melakukan penilaian dan kajian semula struktur tarif elektrik, dengan mengambil kira harga arang batu, gas dan bahan api semasa sebelum sebarang keputusan lanjut diumumkan.
“Keputusan seterusnya dijangka diumum sebelum Julai, kerana kerajaan akan memantau situasi termasuk harga pasaran semasa arang batu, gas dan bahan api pada tarikh paling hampir dengan berakhirnya jadual tarif elektrik semasa iaitu 30 Jun 2025,” katanya.
Pada 20 Disember lepas, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya memaklumkan, kerajaan pada 13 Disember memutuskan tiada kenaikan tarif elektrik selaras dengan komitmen untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menegaskan, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh membebankan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenaikan kadar tarif elektrik tidak seharusnya diletakkan kepada rakyat terbanyak, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.
Perdana Menteri yang berada di Langkawi memberitahu media, beliau telah menghubungi Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya meminta TNB memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Nazmi yakin sebarang keputusan yang diumumkan kerajaan kelak akan mengutamakan dan menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya melindungi pengguna domestik.
Beliau berkata, setakat ini TNB merekodkan sejumlah sembilan juta pemilik akaun pengguna domestik, dan sejuta pengguna sektor komersial.
Pada Khamis, TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, cadangan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, yang ia sarankan supaya dilaksanakan mulai 1 Julai depan.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.