TNB: Paparan graf MyTNB tidak tepat kerana isu teknikal

PUTRAJAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan bahawa kesilapan paparan graf penggunaan elektrik bagi bulan Julai dalam aplikasi myTNB berpunca daripada isu teknikal dalaman.

Dalam kenyataan menerusi media sosial rasmi TNB CareLine hari ini, syarikat utiliti itu memaklumkan graf berkenaan kini tidak dipaparkan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan pembetulan dilakukan.

“TNB ambil maklum mengenai rungutan pelanggan yang melihat lonjakan luar biasa pada graf penggunaan elektrik bagi Julai dalam aplikasi myTNB.

“Disebabkan ralat teknikal, paparan graf tersebut tidak tepat dan telah dihentikan buat sementara waktu. Namun, bacaan penggunaan sebenar untuk Julai tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.

TNB turut memberi jaminan bahawa bil muktamad pelanggan adalah berdasarkan bacaan meter sebenar dan boleh disemak selepas tempoh pengebilan selesai.

Syarikat itu juga memaklumkan, pihak teknikal sedang mengambil tindakan susulan dan perkembangan lanjut mengenai isu ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, TNB menyarankan pelanggan yang mempunyai pertanyaan untuk menghubungi saluran rasmi seperti mesej peribadi (PM) ke Facebook TNB Careline, mesej terus (DM) ke akaun X @Tenaga_Nasional, e-mel ke [email protected] atau talian 1300-88-5454.

Sejak beberapa hari lalu, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati apabila bil elektrik mereka melonjak mendadak, malah ada yang mendakwa ia mencecah sehingga RM800 berbanding RM350 pada bulan sebelumnya.

Di ruangan komen TNB CareLine, pelanggan turut mempersoalkan isu berkaitan semakan tarif elektrik, bil melebihi jangkaan serta pelaksanaan skim Masa Penggunaan atau Time of Use (TOU).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat