TNB Umum Rebat Elektrik 0.47 Sen Bagi April, Pengguna Bawah 600 kWh Dikecuali

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kadar Automatic Fuel Adjustment (AFA) bagi April, dengan pengguna bakal menerima rebat sedikit berkurangan iaitu 0.47 sen bagi setiap kilowatt jam (kWh).

Dalam satu ciapan di platform X, TNB berkata, AFA tidak terpakai kepada pelanggan domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWh dan ke bawah, yang bersamaan dengan bil kira-kira RM215.98.

Di laman web rasminya, TNB menyatakan bahawa AFA akan dicerminkan secara bulanan dalam bil elektrik sekiranya terdapat turun naik harga bahan api pasaran dan kadar pertukaran asing.

Syarikat utiliti itu turut mendedahkan ramalan kadar AFA untuk tiga bulan akan datang iaitu Mei (39 sen/kWh), Jun (91 sen/kWh) dan Julai (8.0 sen/kWh).

“Pengisytiharan kadar AFA (dalam sen/kWh) adalah berdasarkan pengesahan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) atau seperti yang dikomunikasikan secara rasmi melalui keputusan menteri,” katanya.

Untuk info, AFA merupakan mekanisme pelarasan berdasarkan kos pasaran bahan api (gas, arang batu dan lain-lain) serta kadar pertukaran asing, menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang sebelum ini digunakan untuk mengira bil elektrik.

Anda Mungkin Berminat