Tok Mat cadang kerja dari rumah, PdPR semasa Sidang Kemuncak ASEAN

PETALING JAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar kerja dari rumah (work from home) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada Mei dan Oktober ini.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke perhatian Kabinet bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta kesulitan yang dihadapi rakyat, khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya ingin mencadangkan kepada Kabinet agar jabatan-jabatan yang berkenaan boleh bekerja dari rumah, dan sekolah pula boleh menjalankan PdPR untuk mengurangkan kesesakan serta kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya di Lembah Klang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Mohamad turut memohon maaf kepada orang ramai yang terkesan dengan penutupan jalan semasa lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini.

“Jadi, saya juga ingin memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan penutupan jalan semasa lawatan Xi,” ujarnya kepada media di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Beberapa laluan utama di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ditutup atau dilencongkan secara berperingkat dari 15 hingga 17 April bagi memberi laluan kepada pergerakan rasmi Presiden Xi dan delegasinya.

Walaupun penutupan itu dimaklumkan lebih awal dan bertujuan melancarkan logistik serta keselamatan, ia tetap mengundang keluhan orang ramai yang terperangkap dalam kesesakan, terutama pada waktu puncak.

Anda Mungkin Berminat