Tok Mat Ingatkan MIC Suarakan Pandangan Dalam Dewan Tertinggi BN

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan kepimpinan MIC supaya menyuarakan pandangan mereka dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN, bukan melalui kenyataan di luar.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan salah tafsir serta menjaga keharmonian gabungan.

“Kalau ada pandangan, beritahulah. Jangan isi hati dipendam dalam mesyuarat, tapi di luar cakap lain. Tak elok macam itu,” katanya, seperti dipetik Berita Harian.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, Dewan Tertinggi BN sememangnya menjadi wadah untuk setiap parti komponen membincangkan hala tuju bersama.

“Tak usahlah kita bercakap di luar, sebab kadang-kadang boleh disalah erti. Lebih baik pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang menerusi Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan beberapa pemimpin MIC memberi bayangan mahu keluar BN, selepas beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan meluluskan usul meninggalkan gabungan itu.

Sebelum ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mengakui parti itu ada mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai masa depan mereka.

PAS turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MIC, dengan merujuk kerjasama yang pernah terjalin semasa pentadbiran lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat