PETALING JAYA: Beberapa pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada di tampuk kuasa kini menghadapi realiti pahit selepas tewas dalam pemilihan parti kali ini.
Kekalahan beberapa nama termasuk yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah mesej tegas daripada akar umbi yang merasa terpinggir.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, anggota parti mula menghukum pemimpin elit yang lupa asal-usul mereka.
“Panggilan tidak dijawab, WhatsApp pun mereka tinggalkan. Anggota biasa yang dulu tampal poster mereka kini rasa terpinggir,” katanya.
Beliau menambah bahawa sesetengah pemimpin menjadi sukar didekati selepas berada di koridor kuasa dan seterusnya melupakan jasa orang bawah.
“Bila masa perlukan undi, semua janji manis. Tapi lepas menang, ahli pun tidak dikenali,” tambahnya.
Situasi itu, jelasnya, menunjukkan penolakan budaya politik kartel dalam PKR dengan akar umbi memilih pemimpin yang kekal dekat dengan rakyat.
Hassan mengingatkan bahawa kuasa bukan jaminan sokongan dan pemimpin perlu kembali kepada semangat perjuangan asal serta menghargai kepercayaan yang diberikan.