Tokoh wartawan, Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia

Tokoh Wartawan Negara 2014, Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee meninggal dunia awal pagi Jumaat.

Perkara itu disahkan isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff.

“Innalilahi wainna ilaihi rojiun. Suami saya Ahmad Rejal Arbee telah kembali ke rahmatullah sekejap tadi pada pukul 2 pagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Memetik Bernama, Ahmad Rejal, 84, merupakan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang Bernama pada 1981 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1989.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Akhbar Malaysia pada Januari 1984 hingga April 1989.

Ahmad Rejal dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran itu dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat