Tolak rasuah, 5 pegawai dan anggota PGA terima penghargaan KPN

PETALING JAYA: Lima pegawai dan anggota dari Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima Surat Penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Rabu.

ASP Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat dianugerahkan penghargaan itu selepas menolak sogokan RM50,000.

Dalam operasi tersebut, 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan tiga tekong berjaya ditahan.

Razarudin mengucapkan tahniah kepada semua pegawai dan anggota atas integriti mereka.

“Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) seharusnya menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan) yang lain agar tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik PDRM, seterusnya masa depan kita,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, DCP Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Pada 9 Disember lalu, semasa menjalakan Op Taring Wawasan Kelantan di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, kesemua mereka didakwa disogok wang berjumlah RM50,000 daripada seorang ejen sindiket penyeludupan migran.

Wang tersebut dipercayai sebagai imbuhan kepada pihak polis agar tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terlibat.

Anda Mungkin Berminat