Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi tampil menegaskan bahawa keputusan kerajaan untuk tidak menyambung tempoh perkhidmatan tiga hakim Mahkamah Persekutuan adalah mengikut Perlembagaan dan bukannya bermotifkan politik.
Berdasarkan kenyataan media hari ini, Asheeq Ali berkata bahawa terdapat dakwaan beberapa bekas Presiden Majlis Peguam yang menyifatkan keputusan itu sebagai “kesilapan besar” tidak berasas dan boleh mengganggu kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman.
“Pelanjutan tempoh hakim bukanlah satu hak, tetapi bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti dalam Perkara 125(1) Perlembagaan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan melobi secara terbuka agar hakim tertentu dilanjutkan jawatannya memberi tekanan kepada institusi kehakiman dan boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Kebebasan kehakiman tidak dipelihara melalui tekanan awam, sebaliknya melalui penghormatan terhadap proses sedia ada seperti yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC),” jelas beliau.
Beliau yang juga peguam, turut menyelar sikap tidak konsisten sesetengah pihak yang dahulu menentang pelanjutan tempoh hakim, tetapi kini menyokong apabila melibatkan individu pilihan mereka.
“Dulu kata pelanjutan jawatan hakim tak sah, sekarang minta pula sambung kerana individu itu disukai mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menolak sekeras-kerasnya naratif bahawa badan kehakiman sedang menghadapi krisis, sebaliknya menyifatkan pengunduran beberapa hakim dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sebagai peredaran biasa dalam sesebuah institusi.
“Kononnya berlaku penghijrahan besar-besaran sembilan hakim hanyalah putaran semula jadi, bukan petanda institusi kehakiman sedang runtuh. Sistem sedia ada membolehkan pelantikan pimpinan baharu.” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak untuk memberi ruang kepada institusi mahkamah untuk berfungsi tanpa sebarang tekanan dan gangguan.
“Kerajaan menunjukkan komitmen terhadap kedaulatan undang-undang dengan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak.
“Badan kehakiman kita perlu dilindungi daripada campur tangan politik, bukan dijadikan medan untuk mencari pengaruh,” katanya lagi.