KUALA LUMPUR: Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menolak tawaran kemasukan anak-anak ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) hanya disebabkan kekangan kewangan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa MARA sentiasa komited membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi pelbagai inisiatif sokongan, termasuk Bantuan Khas BUDI MARA.
“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah meminta pengurusan MARA dan MRSM supaya membantu pelajar yang susah. Bantuan Khas BUDI MARA juga disediakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, beliau berkongsi kisah sebuah keluarga di kawasan pedalaman Pasir Mas, Kelantan, yang berdepan kesukaran hidup selepas ketua keluarga tidak lagi mampu bekerja akibat kemalangan, manakala ibu hanya seorang suri rumah.

Menurutnya, anak daripada keluarga berkenaan yang merupakan salah seorang daripada empat beradik menerima tawaran ke MRSM Jeli, namun keluarga terbabit hampir menolak tawaran itu kerana bimbang kos perbelanjaan.
“Saya terus menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri Mohamed Noor, untuk membantu perbelanjaan awal. Selebihnya, insya-Allah saya dan MARA akan membantu,” katanya.
Untuk rekod, BUDI MARA atau Bantuan Pendidikan B40 MARA ialah program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyediakan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar daripada keluarga B40, bagi memastikan akses pendidikan berkualiti di MRSM dapat dinikmati secara adil dan saksama.
Baca juga:








