Tony Pua dipanggil beri keterangan hari ini

Tindakan Tony Pua yang mengeluarkan kenyataan dipercayai menghina institusi diraja berkaitan pengampuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, mengakibatkan bekas Setiausaha Politik DAP itu dipanggil untuk beri keterangan pada Isnin. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dibuat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Kanya, Tony Pua akan dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan kenyataan berkenaan kira-kira 1 petang di Bukit Aman, hari ini. 

“Kenyataan dikeluarkan itu didapati bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja.

“Ia berkenaan kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasa di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berkongsi maklumat salah sehingga boleh mengganggu siasatan.

“Mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Sebelum ini, Tony Pua dilaporkan memuat naik tiga hantaran rasa tidak puas hati terhadap pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara sementara 50 peratus diskaun denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat