TOTYA 2025 Catat Rekod Penyertaan, Tandas Awam Malaysia Semakin Moden Dan Bersih

KUALA LUMPUR: Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik KPKT Tahun 2025 (TOTYA 2025) berlangsung meriah di Hotel Westin Kuala Lumpur dengan mencatat sejarah baharu apabila menerima penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.

Sebanyak 744 penyertaan diterima tahun ini, meningkat berbanding 625 pada 2024 dan 345 pada 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan TOTYA sebagai penanda aras kebangsaan dalam standard kebersihan tandas awam.

Disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, TOTYA menjadi platform utama mengiktiraf usaha agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor swasta dan komuniti dalam menyediakan tandas awam bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) selaras dengan Dasar Kebersihan Negara serta aspirasi Malaysia MADANI.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan tahun ini, meliputi hotel, pusat beli-belah, kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen minyak, restoran, sekolah, PBT serta kategori baharu iaitu rumah ibadat.

Setiap pemenang menerima wang tunai RM20,000, piala dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas komitmen mereka.

Dalam ucapannya, Nga turut mengumumkan peruntukan besar bagi meningkatkan standard tandas awam di seluruh negara.

“Kerajaan MADANI memperuntukkan RM30 juta di bawah Belanjawan MADANI 2025 untuk menaik taraf tandas awam milik PBT, melengkapkan peruntukan RM150 juta pada tahun 2024.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM180 juta disediakan dalam tempoh tiga tahun bagi meningkatkan standard tandas awam di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan garis panduan baharu KPKT yang menetapkan bahawa mulai tahun 2026, hanya premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minima kebersihan layak diberikan lesen perniagaan oleh PBT.

Garis panduan itu turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas bagi premis perniagaan dan bangunan awam iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan sejajar dengan keperluan pengguna serta aliran trafik pelanggan yang lebih tinggi melibatkan wanita.

Pelaksanaan garis panduan itu akan dibuat secara berfasa bermula dengan Majlis Bandaraya pada tahun 2026, diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028.

Langkah itu diyakini mampu menjadikan standard BMW sebagai norma nasional, sekali gus meningkatkan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Untuk info, TOTYA 2025 turut diraikan bersempena Hari Tandas Sedunia yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Anda Mungkin Berminat