Tourism Malaysia tarik perhatian pelancong asing di MATKA 2024

Tourism Malaysia memberi peluang kepada pengembara antarabangsa untuk merancang percutian di Pameran Kembara MATKA 2024 di Messukeskus Helsinki, Finland dari 18 hingga 21 Januari depan.

Acara tersebut bertujuan bagi menarik minat pengembara terhadap ekopelancongan Malaysia seiring untuk memperkasakan industri pelancongan tempatan di mata dunia.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia (Amerika, Eropah & Oceania), Azimah Aziz, mengharapkan usaha tersebut dapat mempamerkan dan menarik minat masyarakat luar kepada biodiversiti unik Malaysia di Stand 7h128.

“Antara produk dan pakej baharu yang diketengahkan termasuk Pakej Hijau Geopark Langkawi, Pakej Arkeopelancongan dan Geopelancongan Malaysia, Pakej Ekopelancongan Perlis, Taman Negara Endau Rompin, Geopark Global UNESCO Kinabalu, dan Geopark Negara Delta Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, delegasi dari Malaysia itu turut disertai oleh Lembaga Pelancongan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sabah, dan Lembaga Pembangunan Langkawi, dilengkapi dengan produk dan pakej pelancongan pengalaman baharu mereka yang berpusat di sekitar

Selain itu, kumpulan kebudayaan khas yang dibawa oleh Lembaga Pelancongan Sarawak akan membuat persembahan dua kali sehari, mempamerkan tarian tradisional Sarawak dan alat muzik tempatan seperti sape (alat bertali) dan seruling hidung.

Demo memasak dan makanan juga akan berlangsung di gerai dari 19 hingga 21 Januari untuk memperkenalkan makanan Malaysia kepada pengunjung.

Tourism Malaysia amat optimistik dengan penyertaan tahun ini kerana MATKA menawarkan peluang utama untuk memperkenalkan tarikan pelancongan Malaysia yang sejajar dengan minat pengembara luar negara.

Pameran istimewa itu membolehkan dunia menyaksikan keajaiban alam semula jadi Malaysia, warisan budaya pelbagai etnik, pelancongan berasaskan komuniti yang mampan dan hidangan kulinari yang menjanjikan perjalanan pengalaman yang luar biasa.

Dianggarkan lebih 8,100 rakyat Finland ke Malaysia pada 2023 sekali gus mempamerkan peningkatan ketara berbanding 4,091 pada 2022 dengan mempamerkan peningkatan sebanyak 18.63 peratus.

Tahun Melawat Malaysia (VMY) seterusnya telah ditetapkan pada 2026, dan kerajaan menyasarkan 35.6 juta ketibaan pelancong asing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat