Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Tourism Selangor akan terus rapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengukuhkan usaha pemantauan dan memastikan semua tapak pelancongan mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan.
Tourism Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya komited menyediakan maklumat pelancongan yang tepat dan mempromosi produk pelancongan berlesen melalui laman web rasmi di visitselangor2025.my atau melalui platform media sosial di @TourismSelangor.
“Keselamatan pengunjung kekal menjadi keutamaan dalam industri pelancongan Selangor.
“Tourism Selangor mengambil maklum insiden di Taman Tema Sky City dan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelancong.
“Dengan usaha kolektif daripada pihak berkuasa, pengusaha taman tema dan pengunjung, sektor pelancongan Selangor akan terus berkembang maju terutamanya dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan untuk semua pelancong,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memanggil semula pihak pengurusan taman tema terbabit.
Malah, operasi taman tema dihentikan serta merta sehingga operator terbabit dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Dalam kejadian pada Rabu, 29 Januari lalu, seorang pengunjung cedera selepas sebuah pelampung permainan gelungsur air kaca di taman tema itu dipercayai terjatuh dan menimpa mangsa.
Mangsa, seorang wanita tempatan berumur 20an yang cedera menerima rawatan di sebuah poliklinik di Seksyen 16, Shah Alam.