Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendesak agar kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan semula sepenuhnya di bawah bidang kuasa mereka.
MOTAC berkata, Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594) pada asalnya dipegang penuh oleh kementeriannya namun ia telah dipindahkan ke Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ketegasan itu dilontarkan oleh pihaknya susulan tragedi kemalangan jalan raya dan baru-baru ini melibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak pada Isnin.
“Selepas pemindahan kuasa ini, tiada rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh serta merangkumi ciri-ciri perkhidmatan pelancongan, keperluan keselamatan pelancong dan piawaian antarabangsa tidak dapat diwujudkan. Hal ini menyebabkan situasi kelompongan pengawalseliaan pada masa ini.
“Oleh itu, kami mendesak agar semua bahagian yang sebelum ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan dikembalikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Susulan itu, MOTAC menyatakan ia turut mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa, dengan pihak yang terlibat dalam program pelancongan dan pertukaran pelajar dari ASEAN, Timur Tengah, China, Jepun dan Korea Selatan.
“Mereka menyatakan kebimbangan kepada pihak kementerian serta kurang yakin terhadap mekanisme jaminan keselamatan pengangkutan pelancongan di negara ini.
“Ancaman kepada keyakinan terhadap mekanisme pengangkutan ini berlaku ketika Malaysia sedang giat mempersiapkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap imej keselamatan pelancongan Malaysia di pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Berdasarkan ‘Indeks Kebimbangan Memandu Pelancong Global’, Malaysia disenaraikan sebagai negara ke-9 yang mempunyai tahap paling membimbangkan buat pelawat global dan tempat ke-2 di rantau ASEAN khususnya berkait dengan kadar kemalangan , keadaan jalan raya, disiplin trafik dan penguatkuasaan.
“Ini membuktikan bahawa meskipun kita giat mempromosikan imej “negara mesra pelancong” di pentas antarabangsa, pengalaman sebenar pelawat di jalan raya Malaysia masih menimbulkan keresahan dan ketidakselesaan yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Kementerian sebelum ini telah mencadangkan langkah pembaharuan, termasuk had masa pemanduan harian untuk pemandu bas pelancongan kepada 8 jam, dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh, rehat wajib sewaktu perjalanan, ujian air kencing sebelum memulakan perjalanan, sistem pengesan GPS masa nyata (real-time) dan pemantauan kelajuan, serta perlindungan insurans mandatori.
Bagaimanapun, dek kerana MOTAC tidak lagi pemegang kuasa pengawalseliaan secara langsung, langkah-langkah tersebut masih gagal dilaksanakan secara sepenuhnya, dan risiko terhadap pelancong masih berterusan.

“Keselamatan adalah perkara paling asas dan terpenting dalam kalangan pelancong. Jika kita gagal menyediakan sistem yang boleh dipercayai, sukar untuk mendapatkan semula keyakinan pasaran antarabangsa, apatah lagi menunaikan janji bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Justeru, insiden UPSI ini bukanlah satu kes terpencil tetapi merupakan satu cerminan kepada kelemahan sistem yang wajar menjadi pemangkin kepada pembaharuan dasar, katanya.
Melihat kepada hal itu, MOTAC menyeru kepada seluruh kementerian yang terlibat khususnya, Kementerian Pengangkutan untuk memandang serius berkaitan kesan berantai nahas itu daripada sudut kelompongan pengawalselian itu dan mempercepatkan kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan kepada mereka.
“Hanya dengan cara ini, kita dapat membina semula imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat, dipercayai dan setara dengan piawaian antarabangsa serta dapat memastikan semua pelawat serta kumpulan pertukaran akademik dapat menikmati pengalaman mereka di Malaysia dengan penuh keyakinan,” ujarnya.
Baca juga: