Tragedi dua kanak-kanak maut di Sungai Linggi, polis tahan dua individu

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dan wanita berhubung insiden dua kanak-kanak maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, Pasir Panjang, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pasangan berusia 46 dan 41 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan yang meragukan mengenai kejadian berkenaan.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini bagi permohonan reman,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki yang dipercayai bapa kepada kedua-dua mangsa mempunyai rekod lampau membabitkan 16 kes, termasuk empat kes dikehendaki polis.

“Wanita yang turut ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan mereka dalam kejadian ini,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif. Namun, pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki mangsa mengesahkan kenderaan itu dilaporkan hilang.

Kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6472222 atau Pegawai Penyiasat ASP Husairin Che Hussin di talian 012-9654927.

Dalam kejadian itu, dua beradik berusia enam dan lapan tahun maut selepas terperangkap dalam kereta yang terjatuh ke dalam sungai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat