PETALING JAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menzahirkan rasa simpati terhadap insiden tragis yang meragut nyawa seorang warga Singapura ketika berbasikal di Jalan Negeri J165, Gunung Pulai, Kulai, Johor, pada Sabtu.
Dalam kenyataan media, hari ini, beliau mengakui bahawa kehilangan orang tersayang dalam apa jua keadaan adalah pengalaman yang amat memilukan, apatah lagi ketika menjalankan aktiviti riadah yang seharusnya membawa kegembiraan serta manfaat kesihatan.
Katanya, jalan J165, yang diselenggara di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Johor dengan peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS), didapati mengalami kerosakan serius pada permukaannya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kerosakan pada permukaan jalan berbentuk retakan ‘crocodile cracks’ yang dipercayai berpunca daripada penggunaan kerap oleh kenderaan berat khususnya lori-lori dari kawasan kuari berdekatan,” jelasnya.
Meskipun kerja-kerja menaik taraf bahu jalan telah dilaksanakan awal tahun ini, beliau berkata, tekanan beban berlebihan menyebabkan kerosakan berulang dalam tempoh yang singkat.
Mengambil maklum mengenai situasi ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) segera berhubung dengan pihak berkuasa negeri untuk mempercepatkan kerja-kerja pembaikan.
“Saya telah berhubung dengan pihak berkenaan di negeri supaya kerja pembaikan kualiti pavemen di kawasan terbabit dilaksanakan serta-merta menerusi kaedah R01 termasuk kerja ‘grading’ semula bahu jalan sebagai langkah awal dan segera yang akan diikuti dengan pembaikan secara menyeluruh sebaik sahaja peruntukan diterima,” katanya.
Beliau turut menggesa kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, pengendali kuari, pengguna jalan raya dan komuniti setempat bagi memastikan keselamatan jalan serta mengurangkan risiko kemalangan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan para penunggang basikal agar mengutamakan keselamatan dengan mengelakkan laluan yang sering digunakan kenderaan berat serta memilih waktu berkayuh yang lebih selamat.
“Saya juga ingin menasihati semua penunggang basikal, khususnya mereka yang mengayuh di jalan raya awam, agar sentiasa mengutamakan keselamatan.
“Elakkan menggunakan jalan yang kerap dilalui oleh kenderaan berat dan besar. Pilihlah waktu yang sesuai dan selamat seperti awal pagi pada hujung minggu.
“Pastikan penggunaan kelengkapan keselamatan seperti topi keledar serta lampu reflektif sentiasa dipatuhi,” katanya lagi.
Alexander turut mengingatkan para pemandu agar mematuhi peraturan jalan raya dan mengelakkan gangguan seperti penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau berbasikal.
“Keselamatan pengguna jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen semua pihak sama ada pemandu kenderaan, pejalan kaki mahupun penunggang motosikal dan basikal,” tegas beliau.