PETALING JAYA: Insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, akan menjadi fokus utama dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bermula Isnin ini, menerusi satu taklimat khas oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa taklimat tersebut akan disampaikan kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dari blok kerajaan dan pembangkang.
“Saya telah memohon kepada Speaker DUN Selangor agar memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberikan penjelasan penuh mengenai insiden berkenaan.
“Kerajaan negeri sentiasa berpegang pada prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti, selaras dengan mandat rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa siasatan awal tidak menemui sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dalam kejadian letupan yang berlaku pada pagi 1 April lalu.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan membuka semula siasatan sekiranya muncul bukti atau keterangan baharu.
Mengambil maklum kebimbangan orang awam, Amirudin turut mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk meneliti cadangan pembaharuan undang-undang dan menilai semula prosedur kelulusan kebenaran merancang.
Speaker DUN Selangor, Lau Weng San sebelum ini turut memaklumkan bahawa sidang DUN bermula 7 Julai akan memberi perhatian kepada beberapa isu utama termasuk tragedi Putra Heights, pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), pengurusan banjir dan pelaburan strategik yang memberi impak langsung kepada ekonomi negeri.