Tragedi sahur: Wanita maut tertimbus tanah runtuh di Sepanggar

KOTA KINABALU: Dalam sebuah kejadian tragis awal pagi tadi, seorang wanita, Sitti Harija Norulla, 53, yang baru selesai bersahur, maut setelah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar.

Tanah runtuh berlaku sekitar pukul 4 pagi, mengejutkan Sitti Harija dan anak bongsunya, Zulkiman, 25, yang terbangun akibat gegaran kuat.

Menurut anak sulung mangsa, mereka sempat mendengar bunyi runtuhan sebelum tanah mula bergerak.

“Adik (Zulkiman) cuba menarik ibunya keluar, namun gagal akibat gegaran yang kuat, menyebabkan dia tercampak keluar rumah.

“Rumah kami juga bergerak beberapa meter dari lokasi asal sebelum tertimbus sepenuhnya,” katanya.

Anak sulung mangsa yang sedang bekerja segera pulang setelah dimaklumkan mengenai kejadian dan bersama penduduk kampung berusaha mencari ibunya.

Mereka menemui mangsa tertimbus dalam runtuhan dan menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.32 pagi dan menghantar pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 14 meter persegi musnah sepenuhnya akibat runtuhan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sementara itu, Zulkiman terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Kerja-kerja pemantauan masih diteruskan untuk memastikan tiada risiko runtuhan susulan dengan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Anda Mungkin Berminat