PETALING JAYA: Enam sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi, ditemui maut selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Korok di Jalan Sungai Korok, Jitra, pagi tadi.
Menurut laporan media tempatan, kesemua mangsa ditemukan dalam sebuah Proton Iswara yang tenggelam di dasar sungai dan identiti mereka telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
“Mangsa terdiri daripada Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan.” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.38 pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dikerahkan ke lokasi dengan satu jentera FRT dan kenderaan utiliti lain, tiba di lokasi kira-kira jam 9.01 pagi.
Difahamkan, sepasang suami isteri bersama empat anak mereka dilaporkan hilang selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman, Kedah sejak pagi Sabtu lalu.
Kehilangan mereka disedari apabila tidak pulang ke kediaman mereka dan usaha menghubungi pasangan berkenaan juga gagal, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
Baca juga: