Transformasi Ekonomi Perlu Disertai Reformasi Tatakelola Berani, Berprinsip – Anwar

PETALING JAYA: Transformasi ekonomi negara hanya akan benar-benar bermakna jika digerakkan seiring dengan reformasi tatakelola yang berani, berprinsip dan berpaksikan keadilan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menyempurnakan PNB Knowledge Forum 2025 bertemakan ‘Transformation’ di ibu negara, Anwar berkata, dunia kini sedang mengalami perubahan mendalam yang menuntut pendekatan baharu dalam membina daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Transformasi menyeluruh mesti bukan sekadar dimulakan, tetapi dihidupkan dan digiatkan tatkala dunia berdepan kemajuan teknologi pesat serta ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan kesejahteraan sejagat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa usaha transformasi tidak boleh hanya tertumpu kepada angka pertumbuhan ekonomi tetapi mesti menyentuh kehidupan rakyat secara langsung melalui pelbagai inisiatif sosial dan pendidikan.

Menurut beliau, antara inisiatif yang digerakkan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Program GEAR-uP, Sekolah Angkat MADANI dan Kampung Angkat MADANI, yang bertujuan membina masyarakat berdaya saing dan ekonomi bernilai tinggi.

Namun, Anwar mengingatkan bahawa cita-cita besar ini tidak akan bermakna tanpa keberanian untuk memperbetul sistem dan memperkukuh integriti pentadbiran.

“Namun sebesar mana pun cita-cita transformasi ini, ia tidak akan bermakna andai tidak diiringi dengan reformasi tatakelola yang berani,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Kerajaan MADANI komited memastikan setiap dasar yang digubal berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Untuk info, PNB Knowledge Forum merupakan platform tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menghimpunkan pemimpin industri serta pakar ekonomi bagi membincangkan strategi dan cabaran semasa dalam membina masa depan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Anda Mungkin Berminat