Tren Ekspres Selatan laluan Gemas-JB Sentral tamat 1 Januari depan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan pihaknya akan menamatkan operasi perkhidmatan Ekspres Selatan bagi laluan Gemas-JB Sentral-Gemas akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Jan ini, setelah sembilan tahun pengoperasiannya dan berkhidmat kepada penumpang di sektor selatan.

Ketua Pegawai Teknikal merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, penamatan itu melibatkan enam perkhidmatan Ekspres Selatan yang kini beroperasi iaitu No 41, 42, 43, 44, 45 dan 46.

Ia sebagai sebahagian penyelarasan perancangan dan pengoptimuman operasi perkhidmatan penumpang di jajaran selatan, sejajar dengan kemajuan serta kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

“Langkah ini juga bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap, bersepadu dan berfokus kepada pengalaman perjalanan penumpang,” menurut kenyataan media pada Isnin.

KTMB turut memaklumkan perjalanan penumpang di sektor selatan akan terus diperkukuh melalui pengoperasian penuh perkhidmatan tren elektrik (ETS) hingga ke JB Sentral dengan lapan perkhidmatan sehari mulai 1 Jan ini.

“Dengan lengkapnya perkhidmatan ETS ini, penumpang kini menikmati perjalanan yang lebih moden, mesra pengguna dan mesra alam, di samping menawarkan masa perjalanan yang lebih efisien serta pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” ujarnya.

Namun katanya, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral akan terus beroperasi seperti biasa dan kekal sebagai pilihan perjalanan utama penumpang dari sektor selatan ke Pantai Timur, manakala perkhidmatan Shuttle Timuran turut disediakan sebagai alternatif perjalanan secara henti-henti bagi laluan Gemas-Tumpat.

KTMB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penumpang dan pengguna setia Ekspres Selatan atas sokongan berterusan sepanjang tempoh perkhidmatan itu beroperasi.

“Setiap perjalanan, kenangan dan nostalgia bersama Ekspres Selatan akan sentiasa terpahat dalam ingatan seluruh warga kerja KTMB.

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk terus memilih dan menyokong perkhidmatan KTMB sebagai pilihan pengangkutan awam yang selamat, selesa dan diyakini,” tambahnya.

Justeru, KTMB menyarankan kepada seluruh penumpang untuk membuat semakan jadual perjalanan terkini melalui saluran rasmi syarikat serta merancang perjalanan lebih awal melalui platform jualan tiket rasmi atau mendapatkan bantuan melalui Pusat Panggilan KTMB.

Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200 atau merujuk makluman terkini melalui saluran media sosial rasmi KTMB.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat