Trend Jangkitan Influenza Tahun Ini Lebih Rendah Berbanding 2024

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa trend jangkitan influenza pada tahun ini (2025) kekal lebih rendah berbanding tahun 2024, meskipun terdapat peningkatan kes sejak akhir September lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kadar konsultasi berkaitan kes influenza meningkat daripada 7.4 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-40 (28 September hingga 4 Oktober) kepada 9.2 peratus pada minggu berikutnya, iaitu dari 5 hingga 11 Oktober 2025.

“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kadar tersebut masih lebih rendah berbanding kemuncak tahun lalu, iaitu 9.6 peratus pada Ogos 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Dr Dzulkefly, pemantauan jangkitan dilakukan melalui sistem Survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI), manakala pelaporan kluster dikendalikan oleh Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Setakat ini katanya, sebanyak 352 sekolah bersamaan 65.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kluster direkodkan sebagai institusi paling terkesan.

Tadika mencatatkan 96 kluster, diikuti kolej dan institusi pendidikan (35 kluster), rumah persendirian (33 kluster) serta beberapa pusat jagaan dan tempat kerja.

Bagaimanapun beliau berkata, trend semasa menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah kluster menurun secara ketara daripada 202 pada minggu ke-41 kepada hanya 56 pada minggu ke-42 (12 hingga 18 Oktober 2025).

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menyeru orang ramai agar terus berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan khususnya di sekolah dan tempat awam.

“Ibu bapa dinasihatkan memantau keadaan anak yang mempunyai gejala influenza.

“Sekiranya gejala bertambah teruk, pelajar disaran mendapatkan rawatan ulangan dengan segera bagi mencegah berlakunya komplikasi.

“Guru disarankan untuk memperkukuhkan pendidikan kesihatan bagi menggalakkan kawalan kendiri dan tanggungjawab bersama melalui pemakaian pelitup muka dan kebersihan tangan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pihak sekolah agar segera melaporkan sebarang kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi membolehkan tindakan kawalan dan pencegahan dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Jika penularan hanya terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan hendaklah difokuskan kepada kumpulan tersebut,” katanya.

Anda Mungkin Berminat