Oleh: Sidang Editorial
RENCANA | Trend media sosial terbaharu yang dikenali sebagai ‘S-Line’ mencetuskan kebimbangan ramai pihak apabila ia dilihat mendorong kepada normalisasi pendedahan aib peribadi dan pengalaman seksual secara terbuka.
Trend yang mula mendapat perhatian di platform seperti TikTok dan Instagram ini melibatkan pengguna – khususnya wanita muda – memuat naik gambar diri mereka dengan garisan merah dilukis secara menegak dari kepala. Setiap garisan dipercayai membawa maksud bilangan pasangan atau pengalaman seksual yang pernah mereka alami, seolah-olah menjadi satu bentuk “pengakuan visual” kepada umum.
Gen muda suka aib?

Walaupun bagi sesetengah pihak ia mungkin dianggap sekadar gurauan atau trend suka-suka, hakikatnya trend ini menimbulkan persoalan serius tentang kemerosotan nilai, budaya pendedahan aib diri, dan kesan psikososial yang lebih luas terhadap generasi muda.
Dari sudut pandang Islam, perbuatan menzahirkan dosa secara terbuka adalah sesuatu yang ditegah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW menyebut bahawa setiap umatnya akan diampuni kecuali mereka yang dengan sengaja mendedahkan dosa mereka sendiri. Fenomena ini, yang memperlihatkan individu secara terbuka mengisytiharkan pengalaman yang sepatutnya disembunyikan, jelas bertentangan dengan prinsip tersebut.
Perlekeh akhlak wanita Islam

Seorang pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin, tampil memberikan teguran tegas terhadap trend berkenaan, menyifatkannya sebagai bentuk pemerkosaan terhadap nilai malu serta pengiktirafan terbuka terhadap maksiat.
“Trend ini seolah-olah awak telah membanggakan, menguar-uarkan, membesarkan budaya zina dan anggap ia normal. Boleh pula bergurau-gurau dengan benda yang menjatuhkan maruah kita sebagai wanita,” katanya menerusi satu video yang tular di media sosial.
Menurutnya lagi, trend ini bukan sahaja bertentangan dengan syarak, malah memperlekeh nilai maruah dan akhlak wanita Islam.
“Orang Islam, maruah kita tinggi. Dosa kita tak boleh dibanggakan. Dosa perlu ditangisi, bukan dijadikan konten untuk orang lain gelak.”
Ustazah Asmak turut menggesa masyarakat agar tidak memandang ringan kesan trend sebegini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan remaja dan pelajar sekolah yang mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat di media sosial.
“Ramai yang tengok, ramai yang ikut. Bila kita tunjuk simbol zina dan orang lain gelak, lama-lama masyarakat tak rasa ia salah. Ini penyakit. Bila hilang rasa malu, hilanglah agama.”
Trend seperti ini menurut beliau mencerminkan bagaimana dosa dijadikan hiburan dan aib dijadikan kebanggaan — semata-mata untuk meraih perhatian dalam bentuk tontonan, tanda suka dan komen.
“Zina bukan bahan lawak. Maruah bukan untuk ditayang. Islam tak larang kita bergembira, tapi jangan sampai gembira kita menjatuhkan diri sendiri di hadapan manusia dan Tuhan,” tambah beliau.
Lebih membimbangkan, trend ini turut melibatkan remaja bawah umur yang terdedah kepada budaya sebegini akibat akses terbuka tanpa sempadan terhadap kandungan media sosial. Keadaan ini membuka ruang kepada eksploitasi seksual, buli siber dan gangguan atas talian yang semakin meningkat.
Boleh buat aduan kepada MCMC

Dari sudut perundangan pula, penyebaran kandungan bersifat lucah, jelik atau mengaibkan boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara selama satu tahun bagi mereka yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan tidak bermoral.
Dalam beberapa kes, tindakan tambahan juga boleh diambil di bawah Kanun Keseksaan jika kandungan tersebut mengandungi unsur fitnah, penghinaan atau gangguan seksual.
Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menyediakan saluran rasmi bagi orang awam untuk membuat laporan terhadap kandungan yang tidak sesuai. Aduan boleh dikemukakan melalui portal rasmi aduan.mcmc.gov.my dan pengguna disarankan menyertakan pautan dan tangkap layar sebagai bukti.
Trend S-Line ini menjadi satu lagi contoh bagaimana budaya digital tanpa batas boleh menghakis nilai diri manusia apabila dosa dijadikan konten, dan perhatian digital menjadi lebih penting daripada harga diri.
Dalam masyarakat yang berteraskan nilai agama dan moral, usaha menasihati dan membimbing perlu digiatkan – bukan untuk menghukum, tetapi untuk menyelamatkan. Apabila aib dibuka secara sukarela dan diterima sebagai ‘normal’, masyarakat harus bersuara.
Jika tidak, lebih banyak bentuk konten sebegini akan muncul, menjadikan maruah hanya sekadar tontonan, dan dosa hanya sekadar hiburan.
Baca juga:








