PETALING JAYA: Jabatan Mufti Negeri Pahang melarang rakyat Malaysia untuk menormalisasikan penggunaan ‘trend S-Line’ yang semakin menular di laman sosial terutama generasi muda.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, perbuatan yang tular itu disifatkan sebagai satu bentuk pengamalan zina yang membuka ruang dosa dengan mendedahkan aib sendiri.
“Ini merupakan tindakan yang jelas mendorong normalisasi zina serta segala simbolik berkenaan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Ketika Allah SWT mengharamkan zina, Allah SWT tidak berkata “jangan berzina” secara langsung; bahkan Allah SWT melarang segala perbuatan yang mendorong dan membawa ke arah zina,” katanya.
Jabatan itu turut menjelaskan definisi sebenar trend itu bahawa ia diinspirasikan daripada drama Korea bertajuk “S-Line” yang memaparkan aksi-aksi garisan merah dilukis di atas kepala mereka ke arah individu lain sebagai simbolik dan kekerapan mereka yang pernah melakukan hubungan seksual secara realiti atau imaginasi.

“S-Line (2025) merupakan drama Korea berkenaan fenomena luar kebiasaan apabila garisan merah muncul di atas kepala orang yang pernah melaksanakan hubungan fizikal, serta mendedahkan kisah silam setiap seorang.
“Siri ini bertemakan konsep privasi, memalukan dan siasatan yang mendalam. Drama ini dibintangi oleh artis Korea Selatan,” ujarnya.
Lebih membimbangkan lagi katanya, S-Line telah menjadi satu budaya baharu dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi pengguna TikTok, terutamanya generasi muda-mudi dengan sebab dan tujuan yang pelbagai.
“Ada yang menggunakan untuk sekadar berhibur, bergurau dan membuat lawak. Ada yang menafsirkan garisan merah tersebut adalah bermaksud bilangan stres atau keserabutan.
“Dan ada yang menyatakan dengan jelas, ia bermaksud hubungan seksual namun bukan bilangan kekerapan sebenar; hanya sekadar jenaka atau fantasi. Perkara ini mendorong pembahasan beberapa hukum-hakam seperti berikut yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang,” jelasnya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar masyarakat segera menjauhi trend itu dan menutupi air diri sendiri sekiranya pernah terjerumus di dalam zina.
“Jangan dedahkan aib kita sama ada secara jelas langsung mahupun apa-apa isyarat. Bertaubatlah kepada Allah SWT kerana Dia Maha Pengampun lagi Menerima Taubat sekalian hamba-Nya.
“Dalam masa yang sama, bergurau dan berhibur dengan pedoman syariat Islam. Jangan bergurau dengan dosa dan maksiat,” katanya.
Kata mereka lagi, trend seperti itu bukan sahaja tidak berfaedah malah memberi kesan yang buruk kepada akidah, akhlak serta reputasi umat Islam khususnya generasi muda.
Baca juga:








