Tribunal Hak Asasi, Tenaga Nuklear Antara Isu Tumpuan di Dewan Rakyat Hari Ini

PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal menyaksikan perbahasan isu-isu utama menyentuh aspek hak asasi manusia, pembangunan tenaga nuklear dan konsep baharu dalam reka bentuk pendidikan bandar.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dijadualkan mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung status semasa usaha kerajaan menubuhkan Tribunal Hak Asasi Manusia.

Dalam bidang teknologi dan keselamatan tenaga, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing pula meminta penjelasan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai tahap kesiapsiagaan negara dalam membangunkan penjanaan tenaga nuklear.

Beliau turut menggesa agar dijelaskan bentuk kerjasama yang wujud dengan agensi antarabangsa dalam hal tersebut.

Isu pendidikan turut menjadi tumpuan apabila Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya ingin mengetahui butiran cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina sekolah berkonsep menegak setinggi 10 hingga 17 tingkat.

Beliau menekankan kepentingan aspek keselamatan dalam pelaksanaan cadangan itu.

Sementara itu, persoalan berkenaan kedaulatan dan rundingan perairan turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan bercadang melibatkan Kerajaan Sabah dalam rundingan berhubung isu perairan Ambalat.

Usul tersebut bertujuan memastikan kepentingan negeri Sabah terus dipelihara.

Selepas sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan beberapa Rang Undang-Undang (RUU).

Antara yang dijadual untuk bacaan kali pertama ialah RUU Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025.

Sementara itu, beberapa lagi RUU akan dibentang bagi bacaan kali kedua termasuk RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2025, RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2025, RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 dan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024).

Sidang kali ini yang berlangsung selama 24 hari turut dijadualkan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka menjadi tonggak kepada hala tuju pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Anda Mungkin Berminat