TEHRAN: Konflik antara Iran dan Israel yang kini membabitkan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak dengan serangan balas berterusan di beberapa negara Teluk.
Presiden AS, Donald Trum, menjangkakan peperangan ini akan berlarutan selama empat hingga lima minggu lagi, sambil memberi amaran bahawa “gelombang besar” serangan masih belum berlaku.
Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Negara AS menggesa semua rakyat Amerika supaya segera meninggalkan negara-negara di Timur Tengah berikutan “risiko keselamatan yang serius”.
Dalam pada itu, United States Central Command (CENTCOM) mengesahkan enam anggota perkhidmatan tentera AS maut dalam serangan Iran ke atas pangkalan tentera AS di Kuwait pada Ahad lalu.

Di Kuwait, Kementerian Pertahanan memaklumkan beberapa pesawat perang AS terhempas, namun kesemua kru terselamat. Tentera AS kemudian menjelaskan pesawat berkenaan tersilap ditembak oleh sistem pertahanan udara Kuwait sendiri.
Iran bagaimanapun terus melancarkan serangan balas ke atas Israel dan aset-aset AS di Teluk ketika angka korban di rantau itu terus meningkat.
Sementara itu, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) memberi amaran bahawa kapal-kapal yang melalui Strait of Hormuz, laluan utama penghantaran minyak mentah dunia berisiko menjadi sasaran.
Ancaman ini meningkatkan kebimbangan global terhadap gangguan bekalan minyak antarabangsa, memandangkan Selat Hormuz merupakan nadi eksport minyak dari negara-negara pengeluar utama di rantau Teluk.
Serangan bersama AS-Israel di Iran dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 555 orang. Ketua keselamatan Iran, Ali Larijani, menafikan laporan media AS yang mendakwa beliau sedang mengusahakan rundingan baharu mengenai program nuklear Iran dengan Washington.
Di Lebanon, sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dalam serangan Israel yang dilancarkan selepas kumpulan Hezbollah melepaskan roket ke utara Israel. Perdana Menteri Lebanon turut mengumumkan larangan terhadap aktiviti ketenteraan Hezbollah bagi meredakan ketegangan domestik.
Konflik yang semakin melebar ini mencetuskan kebimbangan global terhadap kemungkinan perang serantau berskala besar, dengan risiko gangguan bekalan tenaga dunia dan ketidakstabilan geopolitik yang lebih luas. Pemerhati antarabangsa kini memantau rapat perkembangan seterusnya ketika serangan balas terus dilancarkan dari kedua-dua pihak.
Baca juga:








