AMERIKA SYARIKAT: Selepas peningkatan tarif ke atas barangan China selama lebih seminggu, pentadbiran Trump telah mengecualikan produk elektronik seperti telefon pintar, komputer dan semikonduktor daripada beberapa tarif yang dikenakan.
Memetik laporan The New York Times, langkah itu memberi kelegaan kepada syarikat teknologi seperti Apple dan Dell serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang ketara.
Namun, kelegaan itu mungkin sementara, kerana tarif lain masih dikenakan dan siasatan baharu mengenai keselamatan nasional terhadap semikonduktor sedang disediakan.
Walaupun begitu, pengecualian itu dapat membantu menenangkan inflasi dan mengurangkan risiko kemelesetan ekonomi, menurut pakar ekonomi.
Langkah itu menunjukkan perubahan dalam pendekatan Trump untuk memperbaharui perdagangan global, meskipun ia tidak mungkin mengubah realiti pengilangan elektronik yang kebanyakannya tertumpu di Asia.
China adalah satu-satunya negara yang tiada pengecualian kepada pelepasan 90 hari tarif oleh Trump kerana Beijing memilih untuk bertindak balas terhadap tarif Amerika Syarikat dengan levinya sendiri.
Tarif yang dikenakan ke atas import China, Trump menaikkannya kepada 145 peratus dan tidak menunjukkan kesediaan untuk melepaskan mana-mana syarikat daripada yuran tersebut.
Sebagai balasan, China pada hari Jumaat berkata, ia menaikkan tarifnya ke atas barangan Amerika Syarikat kepada 125 peratus.