WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi baharu apabila mahu meletakkan wajahnya ke dalam pasport AS bersempena edisi khas ulang tahun ke-250 buat negara itu.
Menurut laporan portal berita antarabangsa Reuters, pasport edisi terhad itu akan menampilkan dua imej utama, termasuk foto rasmi Trump yang diletakkan di atas latar dokumen bersejarah tersebut, lengkap dengan tanda tangan berwarna emas.
Satu lagi imej memaparkan lukisan bersejarah yang menggambarkan tokoh-tokoh pengasas AS.
Jurucakap Jabatan Negara, berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha memperingati detik penting dalam sejarah negara berkenaan.
“Ketika Amerika Syarikat menyambut ulang tahun ke-250 pada Julai ini, Jabatan Negara sedang bersedia mengeluarkan sejumlah terhad pasport AS dengan reka bentuk khas,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Seorang pegawai Jabatan Negara yang enggan dikenali memaklumkan, pasport bertemakan Trump itu hanya ditawarkan di Washington untuk tempoh terhad, tanpa sebarang kos tambahan.
Namun, masih belum jelas sama ada pemohon mempunyai pilihan untuk menolak edisi khas tersebut.
Langkah berkenaan dilihat luar biasa kerana kebanyakan negara, khususnya negara demokrasi, tidak memaparkan imej pemimpin semasa dalam dokumen rasmi seperti pasport.
Baca juga:








