Trump Dakwa AS Lancar Serangan ke Atas Tiga Tapak Nuklear Iran

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini mendakwa bahawa tentera udara negaranya telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear utama di Iran, iaitu Fordow, Natanz dan Estahan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Trump menyifatkan operasi tersebut sebagai “sangat berjaya” sambil mendakwa semua pesawat yang terlibat telah berlepas dari ruang udara Iran dengan selamat.

“Muatan penuh bom telah digugurkan ke tapak utama, Fordow.

“Semua pesawat kini dalam perjalanan pulang dengan selamat,” katanya.

Trump turut merakamkan penghargaan kepada pasukan tentera AS dan menutup kenyataannya dengan seruan kepada keamanan.

Namun, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Pentagon mahupun kerajaan AS berhubung dakwaan tersebut.

Kementerian Pertahanan Iran juga masih belum memberikan sebarang respons.

Kenyataan Trump hadir ketika ketegangan serantau semakin memuncak khususnya melibatkan isu keselamatan dan program nuklear Iran.

Sekiranya dakwaan ini disahkan, ia dijangka mencetuskan reaksi balas daripada Iran dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam krisis geopolitik yang lebih luas.

Trump dijangka mengeluarkan kenyataan susulan dalam masa terdekat.

Anda Mungkin Berminat