WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memperluaskan rangkaian produk jenama peribadinya dengan memperkenalkan minyak wangi terbaharu untuk lelaki dan wanita.
Bagaimanapun, langkah tersebut sekali lagi mencetuskan persoalan tentang kemungkinan penyalahgunaan kedudukan sebagai presiden bagi tujuan mempromosikan produk yang memberi keuntungan kepada beliau dan keluarganya.
Minyak wangi yang dinamakan “Victory 45-47”, dijual pada harga AS$249 (kira-kira RM1,170) dan direka menyerupai patung kecil Trump sebagai lambang “kemenangan, kekuatan dan kejayaan”. Pelancaran rasmi produk ini diumumkan oleh beliau menerusi media sosial pada malam Isnin lalu.
Rekaan kotak wangian lelaki berwarna hitam dengan tulisan emas, manakala untuk wanita, berwarna merah dengan tulisan emas yang sama.
Produk baharu ini turut melengkapkan rangkaian barangan berjenama Trump yang sedia ada, termasuk Bible “God Bless the USA” yang dijual pada harga AS$69.99 dan but kulit “Trump Landslide” berharga AS$299. Pada Disember lalu, Trump juga mempromosikan koleksi minyak wangi “Fight! Fight! Fight!” yang ditawarkan pada harga AS$199.
Berdasarkan laporan pendedahan kewangan yang diterbitkan pada Jun, Trump dilaporkan memperoleh pendapatan mencecah AS$2.5 juta sepanjang tahun lalu hasil jualan kasut dan minyak wangi yang membawa namanya.
Aset perniagaan Trump kini dipegang oleh Donald J. Trump Revocable Trust, yang dikendalikan oleh anaknya, Donald Trump Jr. Namun begitu, beberapa kumpulan pemantau kerajaan menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya konflik kepentingan, memandangkan produk-produk ini masih dipasarkan semasa beliau memegang jawatan sebagai Presiden.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, dalam kenyataan pada Mei lalu, menegaskan bahawa Trump mematuhi semua peruntukan undang-undang berkaitan konflik kepentingan.
“Saya percaya rakyat Amerika melihat tuduhan bahawa presiden ini mengaut keuntungan peribadi sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Namun, beliau sudah pun berjaya sebelum sanggup melepaskan segalanya untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.