WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa negara-negara sekutu membantu melindungi Selat Hormuz dengan menghantar kapal perang ke Timur Tengah susulan gangguan besar terhadap laluan perkapalan penting itu oleh Iran.
Menurut laporan AAA, harga petrol di Amerika Syarikat meningkat sebanyak 23 peratus sejak konflik tercetus.
Dalam perkembangan sama, Trump berkata beliau belum bersedia mencapai perjanjian dengan Iran bagi menamatkan perang kerana syarat yang ditawarkan setakat ini dianggap tidak memadai.
“Iran mahu membuat perjanjian, tetapi saya tidak mahu kerana syaratnya belum cukup baik. Jika ada perjanjian, ia perlu benar-benar kukuh,” katanya dalam temu bual telefon bersama NBC News.
Trump bagaimanapun enggan memperincikan syarat yang dimahukannya.
Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai status pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei, yang dilaporkan tidak muncul di khalayak sejak mengambil alih kepimpinan negara itu.
“Saya tidak tahu sama ada dia masih hidup. Setakat ini tiada siapa dapat menunjukkannya,” kata Trump sambil menyifatkan laporan mengenai kematiannya sebagai khabar angin.

Dalam perkembangan berkaitan, perlumbaan Bahrain Grand Prix dan Saudi Arabian Grand Prix yang dijadual berlangsung pada April dibatalkan susulan konflik di rantau itu.
Sementara itu, tentera Iran memberi amaran akan menyerang infrastruktur minyak dan gas yang berkaitan dengan Amerika Syarikat di Timur Tengah sekiranya lebih banyak kemudahan tenaga negara itu diserang.
Tehran turut menggesa orang awam supaya meninggalkan kawasan berhampiran fasiliti yang berkaitan dengan perniagaan Amerika Syarikat di rantau tersebut.
Dalam isu lain, Trump mempertahankan keputusannya melonggarkan sementara sebahagian sekatan terhadap sektor minyak Rusia bagi menstabilkan bekalan tenaga global. Sekatan itu sebelum ini dikenakan selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan bantuan daripada Ukraine dalam konflik itu, Trump berkata bantuan daripada Presiden Volodymyr Zelensky tidak diperlukan.
Sebelum ini, Zelensky menawarkan bantuan kepada Amerika Syarikat untuk menangkis serangan dron Iran berdasarkan pengalaman tentera Ukraine menghadapi serangan dron Rusia. Ukraine juga dilaporkan menghantar pasukan ke Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu bagi berkongsi kepakaran tersebut.
Terdahulu, Trump meminta China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom menghantar aset ketenteraan bagi membebaskan Selat Hormuz.
Baca juga:








