KUALA LUMPUR: Aksi spontan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyertai tarian tradisional tempatan ketika dipersembahkan sambutan rasmi sempena ketibaannya menarik perhatian orang ramai.
Beliau disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi persembahan kebudayaan penuh warna-warni di kawasan ketibaan delegasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Trump yang turun dari pesawat rasmi Air Force One, jenis Boeing 747-200B berwarna biru putih, dilihat tersenyum lebar sambil mengikut rentak penari dengan gaya santai, mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh daripada orang ramai.
Presiden itu turut menyapa beberapa rakyat Malaysia yang hadir, sebelum mengibarkan bendera Malaysia dan AS sebagai simbol persahabatan dua negara.
Trump kemudian beramah mesra seketika dengan tetamu di lokasi sambutan sebelum beredar menaiki limosin rasmi The Beast bersama Anwar menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Lawatan rasmi beliau ke Malaysia turut bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, yang diadakan atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Baca juga:








