Trump lanjutkan tarikh akhir larangan TikTok kali keempat

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi melanjutkan tarikh akhir pengharaman aplikasi TikTok di negara itu sehingga 16 Disember, menjadikannya lanjutan kali keempat sepanjang penggal keduanya di White House.

Langkah itu diumumkan melalui satu perintah eksekutif pada Selasa, sehari selepas rundingan antara AS dan China di Madrid yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai “kerangka penyelesaian” berkaitan isu aplikasi milik syarikat China, ByteDance.

Trump dalam hantaran di platform Truth Social berkata, satu “perjanjian” telah dicapai melibatkan sebuah syarikat yang “sangat penting kepada anak muda di negara ini”.

Beliau turut memaklumkan akan mengesahkan perkara itu dengan Presiden China, Xi Jinping pada Jumaat sama ada masih wujud pegangan China dalam aplikasi berkenaan.

Sebelum ini, Kongres AS telah meluluskan undang-undang yang mengharamkan TikTok di seluruh negara melainkan ByteDance menjual pegangan majoriti sebelum 19 Januari lalu.

Namun, Trump telah melanjutkan tarikh akhir tersebut sebanyak tiga kali sebelum ini, termasuk pada hari pertama beliau memegang jawatan presiden, 20 Januari, selepas Mahkamah Agung AS mengesahkan kesahihan undang-undang jual-atau-larang itu.

Rundingan berhubung penjualan TikTok beberapa kali gagal, antaranya selepas Beijing enggan meluluskan eksport teknologi algoritma cadangan aplikasi tersebut yang tertakluk di bawah kawalan eksport China sejak 2020.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, ketika ditemu bual CNBC berkata kerangka persetujuan dengan perunding China hanya dicapai selepas Trump memberi amaran beliau sanggup membiarkan TikTok ditutup sepenuhnya.

Bagaimanapun, beberapa ahli Kongres dari kedua-dua parti memberi amaran bahawa sebarang perjanjian perlu mematuhi undang-undang sedia ada serta memastikan kawalan China terhadap TikTok benar-benar dihapuskan.

Satu kenyataan daripada Demokrat di Jawatankuasa Hubungan Luar Senat menegaskan, “Tiada perjanjian boleh membenarkan kerajaan China menentukan apa yang rakyat Amerika boleh lihat di TikTok.”

Sementara itu, Republikan di Jawatankuasa Pilihan Dewan mengenai Parti Komunis China menuntut pemutusan sepenuhnya hubungan dengan ByteDance, termasuk algoritma dan operasi aplikasi.

Namun, sokongan rakyat terhadap larangan TikTok semakin berkurangan. Menurut tinjauan Pew Research Center awal tahun ini, hanya 34 peratus orang dewasa Amerika menyokong larangan berbanding 50 peratus pada 2023.

Pentadbiran Trump sendiri membuka akaun rasmi TikTok bulan lalu, selepas kedua-dua Trump dan bekas Presiden Joe Biden menggunakan platform itu semasa kempen pilihan raya 2024, meskipun sebelum ini mereka mengkritik isu keselamatan aplikasi tersebut.

TikTok dan pengkritik lain berhujah, larangan itu bakal mencabuli hak rakyat Amerika untuk mengakses media asing, sekali gus melanggar Pindaan Pertama Perlembagaan AS.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat