Trump, Lula Jangka Capai Persetujuan Baharu AS–Brazil

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, beliau yakin satu persetujuan baharu dengan Brazil bakal dimeterai tidak lama lagi selepas bertemu Presiden Luiz Inacio Lula da Silva di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

“Ia satu penghormatan besar dapat bersama Presiden Brazil sebuah negara yang hebat dan indah.

“Saya fikir kita boleh capai beberapa persetujuan yang baik dan hubungan yang sangat baik,” kata Trump.

Menurut beliau, rundingan antara kedua-dua negara dijangka “diselesaikan dengan agak cepat” kerana masing-masing mempunyai potensi besar untuk manfaat bersama.

Presiden Lula pula menegaskan keperluan mengekalkan hubungan “luar biasa” dengan AS, sambil berkata tidak ada sebab untuk berlakunya pertikaian antara kedua-dua negara.

Pertemuan itu berlangsung selepas ketegangan diplomatik berhubung tarif 50 peratus yang dikenakan Washington serta sekatan ke atas beberapa pegawai Brazil yang dikaitkan dengan siasatan terhadap sekutu Trump, bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang kini menjalani hukuman 27 tahun penjara atas kesalahan merancang rampasan kuasa.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini mengadakan perbualan video awal Oktober sebelum bersetuju untuk bertemu secara bersemuka.

Trump turut menyatakan keyakinan terhadap kemajuan rundingan akan datang dengan Presiden China Xi Jinping di Korea Selatan, dengan menyebut bahawa “kedua-dua pihak mahu satu penyelesaian” dan mesyuarat seterusnya dijangka berlangsung di China, Washington, atau Mar-a-Lago.

Anda Mungkin Berminat