Trump, Netanyahu bincang Gaza dan Iran di Florida

FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan pertemuan di Mar-a-Lago, Florida, Isnin bagi membincangkan perkembangan terkini di Timur Tengah, termasuk situasi di Gaza dan Iran.

Trump berkata isu pelucutan senjata Hamas perlu diberi perhatian bagi memastikan kestabilan jangka panjang di wilayah berkenaan.

“Perkara ini penting untuk memastikan gencatan senjata dapat dikekalkan,” katanya dipetik Al-Jazeera pada Selasa.

Beliau turut menyatakan Amerika Syarikat tidak melihat pelanggaran besar terhadap perjanjian gencatan senjata oleh Israel setakat ini.

“Saya melihat Israel mematuhi komitmen yang telah dipersetujui,” katanya.

Mengenai Iran, Trump memberi amaran bahawa Washington akan bertindak sekiranya Tehran membina semula program nuklear atau meningkatkan keupayaan misilnya.

“Kami tidak mahu sebarang ancaman baharu terhadap keselamatan serantau,” ujarnya.

Netanyahu pula menegaskan kerjasama erat antara Israel dan Amerika Syarikat dalam menangani cabaran keselamatan di rantau itu.

Menurutnya sokongan Amerika Syarikat amat penting dalam memastikan keselamatan Israel.

Kedua-dua pemimpin turut menafikan wujudnya ketegangan hubungan antara kedua-dua negara, dengan Trump menyifatkan hubungan Washington–Tel Aviv kekal kukuh.

Dalam isu Syria, Trump menggalakkan pendekatan diplomatik, manakala Netanyahu menegaskan keutamaan Israel adalah memastikan keselamatan di kawasan sempadan.

Situasi di Lebanon turut dibincangkan, dengan Trump berkata perkembangan keselamatan di negara itu akan terus dipantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat