Trump Puji Peranan Malaysia, Anwar Tegas Komitmen ASEAN Kekal Keamanan Serantau

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan keamanan serantau khususnya berkaitan isu Kemboja–Thailand.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berbual menerusi panggilan telefon bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pemudah cara dalam perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara jiran.

“Trump sifatkan itu sebagai pencapaian besar yang memperlihatkan kewibawaan Malaysia dan keteguhan ASEAN.

“Saya turut sampaikan penghargaan kepada beliau atas peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dalam memastikan gencatan senjata tersebut tercapai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia menantikan kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada bulan Oktober.

Beliau berkata, pertemuan itu bakal menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Perbualan telefon ini berlangsung ketika saya menerima kunjungan hormat Jamieson Greer, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), yang kini berada di Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat