ALASKA: Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah mengadakan pertemuan berprofil tinggi di Joint Base Elmendorf-Richardson, Alaska, dalam usaha awal untuk membincangkan kemungkinan gencatan senjata dalam konflik Rusia-Ukraine.
Memetik laporan media antarabangsa ABC, pertemuan dimulakan dengan jabat tangan rasmi di atas permaidani merah, diiringi oleh pertunjukan udara melibatkan pesawat pengebom B-2 dan jet pejuang F-22 milik Tentera Udara Amerika Syarikat.
Trump kelihatan ceria dan bertepuk tangan, manakala Putin menunjukkan reaksi terkejut terhadap demonstrasi ketenteraan tersebut.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya menaiki limosin presiden AS, ‘The Beast’ bersama-sama menuju ke lokasi rundingan, satu isyarat mesra yang jarang berlaku dalam hubungan diplomatik antara Washington dan Moscow.
Trump diiringi oleh Setiausaha Negara Marco Rubio dan Duta Khas Steve Witkoff, manakala Putin membawa Menteri Luar Negeri Sergey Lavrov dan penasihat kanan Yuri Ushakov.
Komander Tertinggi NATO di Eropah, Jeneral Alexus Grynkewich, turut hadir sebagai penasihat ketenteraan kepada delegasi AS.
Agenda utama rundingan adalah mencari jalan penyelesaian kepada perang Rusia-Ukraine yang telah berlarutan sejak 2022.
Trump menyatakan bahawa pertemuan ini bertujuan untuk ‘menguji kesediaan Putin’ dalam mencapai perdamaian.
Putin pula menegaskan bahawa ‘punca sebenar konflik mesti dihapuskan’ sebelum sebarang gencatan senjata dapat dicapai.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, tidak dijemput ke rundingan ini, menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin Eropah dan pemerhati antarabangsa mengenai ketelusan dan keadilan proses diplomatik tersebut.
Trump dilaporkan mencadangkan kemungkinan pertukaran wilayah sebagai sebahagian daripada pelan damai, namun cadangan itu ditolak oleh Zelenskyy yang menegaskan bahawa ‘tiada tanah Ukraine akan diserahkan kepada Rusia’.
Dalam satu kenyataan mengejutkan, bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, menyatakan bahawa jika Trump berjaya menamatkan perang tanpa Ukraine kehilangan wilayah, beliau akan mencalonkan Trump untuk Hadiah Nobel Keamanan.