WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sekali lagi mengejutkan dunia apabila membatalkan serta-merta segala rundingan perdagangan bersama Kanada.
Trump mendakwa negara jiran itu telah memutarbelit kenyataan bekas Presiden Ronald Reagan dalam kempen iklan berkaitan tarif.
“Berdasarkan tindakan mereka yang keterlaluan, semua perundingan perdagangan dengan Kanada ditamatkan sekarang,” kata Trump dalam satu hantaran di aplikasi Truth Social.
Beliau menegaskan bahawa Ronald Reagan Foundation baru-baru ini mengumumkan bahawa Kanada telah menggunakan iklan secara penipuan yang memaparkan Reagan bercakap negatif mengenai tarif, yang menurutnya adalah palsu.
Keputusan mengejut ini berlaku hanya dua minggu selepas Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, mengadakan pertemuan dengan Trump di White House bagi memohon pelonggaran tarif AS yang ketat.
Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, sebelum ini mengesahkan bahawa iklan dari wilayahnya yang membawa mesej menentang tarif telah menarik perhatian Trump.
Difahamkan, iklan berkenaan menggunakan rakaman Reagan yang mengkritik tarif terhadap barangan asing kerana boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan serta perang perdagangan.
Yayasan Presiden Ronald Reagan kemudian menegaskan bahawa iklan tersebut menggunakan rakaman dan audio Reagan secara “terpilih” tanpa kebenaran rasmi, sambil menyatakan sedang menilai tindakan undang-undang terhadap kerajaan Ontario.
Kerajaan Kanada setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap keputusan Trump itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menegaskan bahawa Kanada tidak akan membenarkan akses tidak adil oleh Amerika Syarikat ke pasaran negaranya sekiranya rundingan perdagangan gagal diteruskan.
Baca juga:








