Trump Sah Hadir Ke Sidang Kemuncak ASEAN 2025 Di KL Pada Oktober – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengunjungi Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung Oktober ini.

Ketika berucap di Dewan Rakyat, Anwar berkata, beliau menerima panggilan rasmi daripada Trump pada pukul 6.50 pagi tadi.

Perbualan itu dimulakan dengan penghargaan tinggi dari Presiden AS terhadap peranan penting Malaysia dalam menyelesaikan konflik diplomatik antara Thailand dan Kemboja.

“Beliau (Donald Trump) memulakan dengan menyatakan penghargaan dengan setinggi-tingginya, kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja,” katanya.

Menjawab penghargaan tersebut, Anwar berkata, kejayaan itu adalah hasil semangat kesepakatan dalam kalangan negara ASEAN serta kerjasama konstruktif daripada kuasa besar seperti AS dan China.

“Walaupun dalam respon saya menyatakan, ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara serta juga kerana kerjasama yang ditunjukkan oleh AS khususnya, Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jinping,” katanya.

Perbualan antara kedua pemimpin turut menjurus kepada isu perdagangan antarabangsa khususnya soal tarif dan komitmen terhadap prinsip perdagangan bebas.

Beliau berkata, beberapa rundingan sedang berjalan melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama wakil perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS.

Menurutnya, hasil perbincangan tersebut membawa kepada satu keputusan penting apabila Trump bersetuju untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif kepada keesokan harinya.

“Dan kita doa Insya Allah ia akan membantu dan tidak membebankan ekonomi negara kita ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat